MINUM AIR PANAS VS AIR SEJUK : MANFAAT DAN KEBURUKAN

0 3,289

Kita semua pastinya sedar akan kepentingan meminum air yang secukupnya, tapi tahukah anda bahawa minum air panas dan air sejuk mempunyai manfaat dan keburukan masing-masing?

Air panas

Secara umumnya, meminum air panas dipercayai lebih baik dalam proses penghadaman makanan. Ini kerana air panas boleh menghuraikan makanan yang dimakan dengan lebih baik dan seterusnya mengurangkan risiko sembelit. Dalam perubatan tradisi Cina dan Ayurveda, meminum segelas air panas sejurus selepas bangun tidur akan dapat mengaktifkan dan merangsang sistem penghadaman. 

Selain itu, meminum air panas juga dapat melancarkan peredaran darah kerana ianya boleh mengembangkan saluran pembuluh darah. Ini boleh mengurangkan kesakitan pada badan, terutamanya sakit yang berkait dengan kekejangan otot, pening kepala dan sakit sendi.

Minum air panas juga baik untuk detoksifikasi badan kerana ia merangsang pengeluaran peluh, yang akan dapat menyingkirkan toksin dalam badan. 

Dengan sebegitu banyak manfaat dan kebaikan meminum air panas, apakah pula keburukan meminum air panas? 

Selain daripada risiko melecur sekiranya air tersebut terlampau panas, meminum air panas semasa bersenam adalah amat tidak digalakkan. Ini kerana ianya akan meningkatkan suhu teras badan, dan seterusnya menjadikan seseorang itu tidak dapat bersenam dalam tempoh yang lama. 

Dalam masa yang sama, meminum air panas juga menggalakkan perpeluhan dan menghilangkan dahaga dengan lebih cepat. Ini secara tidak langsung menyebabkan seseorang itu akan kurang meminum air dan tidak mendapat hidrasi yang secukupnya.

Air sejuk?

Bagaimana pula dengan meminum air sejuk? Sudah tentu manfaat paling utama meminum air sejuk yang sering dikaitkan adalah sebagai salah satu langkah pengurangan berat badan yang lebih efektif berbanding air panas. Ini kerana meminum air sejuk akan menyebabkan badan bertindak balas dengan melaraskan suhu teras badan – yang seterusnya akan dapat membakar kalori dengan lebih baik.

Meminum air sejuk juga amat baik sewaktu bersenam, kerana ianya dapat mengawal suhu teras badan daripada naik secara drastik, dan juga mampu menyejukkan badan dengan lebih baik. Rata-rata orang juga mampu bersenam dengan lebih lama sekiranya meminum air sejuk semasa senaman. Tentunya anda sering melihat atlet sukan yang meminum air sejuk semasa perlawanan sukan – ianya dapat meningkatkan prestasi dan ketahanan atlet dalam sukan.

Dari segi penjagaan kesihatan badan, sekiranya meminum air panas adalah baik untuk penghadaman, meminum air sejuk pula adalah baik untuk membersihkan saluran kencing dan menyingkirkan jangkitan kuman. Ianya juga baik untuk diminum semasa demam untuk menurunkan suhu badan. 

Di samping itu, meminum air sejuk boleh membuatkan seseorang dengan secara sukarela minum lebih banyak air daripada biasa. Ini sudah tentunya akan dapat menghidratkan badan dengan lebih baik.

Namun demikian, keburukan terbesar meminum air sejuk adalah kesan negatif terhadap sistem penghadaman badan. Apabila seseorang itu meminum air sejuk ketika makan, badan terpaksa bekerja keras dengan lebih lama untuk menghuraikan makanan dan minuman yang diambil yang seterusnya menyebabkan senak perut, sembelit dan lain-lain isu penghadaman.

Air sejuk juga dikatakan boleh menyebabkan kesakitan pada kepala seperti migrain menjadi lebih buruk kerana ianya mengecutkan saluran pembuluh darah dan seterusnya mengakibatkan pengaliran darah yang menjadi semakin perlahan.

Kesimpulannya

Di atas adalah manfaat dan keburukan air panas dan air sejuk. Kedua-duanya mempunyai kelebihan sekiranya diamalkan pada masa yang bersesuaian. Apa yang penting ialah memastikan anda minum air yang secukupnya. Air panas atau air sejuk, pilihan di tangan anda.

Leave A Reply

Your email address will not be published.