Batuk berpanjangan sebenarnya menandakan bahawa sistem imuniti badan anda sedang melawan kerengsaan, keradangan atau jangkitan pada paru-paru dan saluran pernafasan anda. Simptom batuk berterusan bukanlah hal yang boleh diambil ringan kerana ini merupakan salah satu cara badan kita menolak kuman dan bakteria yang tidak diingini keluar.
Batuk biasanya dikaitkan dengan jangkitan pada saluran pernafasan, seperti selesema, bronkitis ataupun jangkitan yang lebih serius seperti COVID-19. Jangan risau, batuk juga boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti pertukaran suhu, tindakbalas refluks asid, alahan, asma dan lain-lain. Inilah beberapa petua yang boleh anda lakukan untuk menghilangkan gejala batuk anda. Tunggu apa lagi? Jom kita cuba!


Hilangkan Batuk dengan Makan Ubat Batuk
Bukan setakat klinik sahaja, kini sesetengah farmasi turut dibuka 24 jam termasuk pada waktu hujung minggu untuk memudahkan pesakit mendapatkan ubat-ubatan pada bila-bila masa. Kemudahan yang ada ini perlulah kita manfaatkan sebaik mungkin. Kebiasannya, anda hanya perlu menggunakan ubat batuk di farmasi untuk tempoh seminggu sahaja.

Hilangkan Batuk dengan Minum Air Mencukupi
Meminum air yang mencukupi bukan sahaja dapat mengekalkan kelembapan kulit, tetapi ia juga boleh membantu sistem imun anda melawan jangkitan virus. Peningkatan cecair ke dalam badan dapat meningkatkan aliran darah ke kawasan badan yang dijangkiti sekaligus melawan jangkitan tersebut!

Hilangkan Batuk dengan Kumur Air Garam
Ini merupakan cara yang paling simple, selamat dan jimat untuk meredakan sakit tekak yang mungkin menjadi punca kepada gejala batuk anda. Berkumur dengan air garam dapat membunuh bakteria, mencairkan kahak dan juga mengurangkan sakit tekak anda. Larutkan setengah sudu garam ke dalam secawan air suam dan kumurlah selama 30 saat.

Hilangkan Batuk dengan Mandi Air Panas
Mandi air panas dapat melegakan otot tegang badan anda, melancarkan saluran pernafasan dan juga mencairkan kahak anda. Wap haba yang terhasil dari air panas itu juga dapat mengurangkan gejala batuk yang anda hadapi.

Hilangkan Batuk dengan Jumpa Doktor
Dah cuba semua petua ni tapi gejala batuk masih tidak berkurang? Jumpalah doktor untuk dapatkan nasihat pakar sekiranya gejala anda berlarutan sudah melebihi 4 minggu. Jika anda menghadapi gejala lain seperti sesak nafas, hingus berdarah, sakit dada, pening kepala, demam panas atau berat turun mendadak, ini mungkin tanda kepada penyakit yang lebih serius.