TAHNIAH! Sudah 34 hari kita semua dengan tekun mematuhi perintah PKP. Dengan kekal duduk di rumah. Jadinya rata-rata kita akan memasak di rumah. Mungkin ada yang sudah berangan-angan untuk buka restoran atau bisnes “lunch box” selepas PKP tamat nanti.
Pelbagai jenis masakan sudah pun dimasak selama 34 hari ni so ini ada satu resepi mudah dan sedap. Boleh dikatakan kena dengan selera tekak orang Malaysia. Makanan ni sesuai dimasak untuk sarapan pagi atau untuk dimakan ketika minum petang.
Mari kita cuba masak Cucur Nasi! Atau lempeng nasi pun boleh.
Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti di bawah :
Nasi yang sudah dimasak (dua senduk)
2 biji telur
4 helai daun bawang dipotong halus
Separuh lobak merah digarut
1 biji cabai merah dipotong halus
1 sudu kecil garam
2 sudu besar tepung gandum
*bahan tambahan (ikut selera)
Sosej/Udang
Cheese

Cara penyediaan :
Pecahkan telur ke dalam besen sederhana besar. Pukul telur bersama garam. Kemudian masukkan nasi ke dalam telur dan gaul hingga sebati. Masukkan pula tepung dan gaul lagi sehingga sebati. Akhir sekali masukkan bahan-bahan yang sudah dipotong tadi iaitu daun bawang, lobak, cabai (sosej/udang dan cheese) dan gaul semua bahan-bahan ini hingga sebati. Sama macam kita nak masak cucur.
Cara masak :
Panaskan sedikit minyak atau mentega di dalam pan. Sikit jer tau sebab kita tak nak cucur ni jadi berminyak sangat. Setelah panas letak bancuhan seperti adunan penkek di atas pan. Terbalikkan jika rasa sudah cukup rangup. Kemudian angkat! Dah siap sedia untuk dimakan! Boleh jadikan cili sos atau mayonis sebagai bahan cicahan. Kalau ada lebihan kuah kari atau sambal masak merah lagi sedap!

Tips istimewa :
Jika anda ada anak yang tidak suka makan nasi, anda boleh blend semua bahan ini dan gorengkan. Pastikan ianya mirip seperti penkek atau apa-apa bentuk yang boleh menyebabkan anak anda tertarik untuk makan makanan ini.
Cuba tau masak resepi ni. Gerenti puas hati!
Stay safe everyone!