4 Cara Servis Sendiri Aircond di Rumah
Aircond adalah satu keperluan untuk setiap rumah/pejabat di Malaysia. Cuaca di negara kita yang panas lembap ini mewajibkan kita untuk memasang sekurang-kurangnya satu unit aircond di rumah untuk keselesaan ahli rumah menjalankan aktiviti harian. Aircond bukan sahaja menyejukkan udara tetapi ia juga membantu meningkatkan kualiti dan kebersihan udara di dalam rumah. Penggunaan yang kerap mendorong kepada keperluan anda untuk servis sendiri aircond di rumah supaya lebih tahan lama dan dapat berfungsi dengan baik.
Kenapa perlu servis sendiri aircond di rumah?
Jangka hayat lebih lama
Isu servis aircond ni tidak boleh dipandang remeh. Tanpa penyelenggaraan yang betul, kecekapan aircond di rumah anda akan menurun sebanyak 5% setiap tahun. Lebih lama anda tidak servis sendiri aircond anda, lebih tinggi risiko aircond anda untuk cepat rosak.
Untuk mengelakkan kerugian pada dompet anda, anda bolehla servis sendiri aircond di rumah. Jangan risau, proses servis ni simple je, tak perlukan kepakaran atau kemahiran yang tinggi pun. Apabila anda servis aircond sendiri sekurang-kurangnya 6 bulan sekali, senangla technician nak datang check dan kenalpasti masalah jika ada berlaku kerosakan besar.
Jimat bil elektrik
Percaya tak aircond yang tidak diservis memakan lebih banyak penggunaan elektrik? Cuba bandingkan bil elektrik rumah anda apabila kali pertama anda memasang aircond dengan waktu sekarang. Jauh beza kan? Susah nak nampak perbezaan ini dengan mata kasar.
Aircond yang tidak diservis terpaksa menggunakan tenaga elektrik yang lebih banyak untuk mengalirkan udara sejuk di ruang rumah anda seperti dahulu kala. Ini kerana aircond ini dipaksa untuk berfungsi seperti biasa padahal kecekapannya sudah lama merosot.
Elak Kos Lebihan
Isu simple biasanya dapat ditemui dan diselesaikan semasa proses servis sendiri aircond dijalankan. Langkah ini dapat menjimatkan duit anda, sekejap sahaja dah boleh setel. Kebiasaannya solusi yang diambil adalah cepat, mudah dan murah.
Jika anda tidak servis sendiri aircond pada masa yang sepatutnya, kemungkinan besar anda akan terlepas pandang dengan masalah-masalah kecil ini. Kemudiannya ia akan menjadi masalah yang lebih serius dan mengambil kos yang lebih besar untuk diselesaikan.
Tanda-tanda aircond anda perlu diservis
Aircond keluarkan udara panas
Salah satu tanda yang paling besar anda perlu servis sendiri aircond adalah jika ia mengeluarkan udara panas, atau udara yang dikeluarkan tidak sesejuk dahulu. Hal ini boleh berlaku walaupun anda sudah tetapkan aircond pada suhu yang paling sejuk.
Aircond keluarkan bau pelik atau mula berbunyi
Sistem aircond yang diservis dengan baik tidak akan mengeluarkan bunyi atau bau yang kurang menyenangkan kepada persekitarannya. Jika aircond anda mengeluarkan bau lembap/kepam atau bunyi pelik, maka ini menandakan sudah tiba masanya untuk diservis.
Kenaikan bil elektrik
Ada kenaikan pada bil elektrik bulanan anda? Kemungkinan besar penggunaan aircond anda adalah punca utama untuk kes ini. Aircond yang tidak diservis akan hilang kecekapannya dan ianya terpaksa menarik sejumlah tenaga elektrik yang besar untuk berfungsi seperti sediakala.
Cara-cara servis aircond di rumah
Cuci filter
- Buka penutup aircond dan anda akan nampak bahagian berjaring. Itulah filter yang perlu dicuci.
- Buka filter itu, keluarkan dan cuci filter tadi dengan air dan sabun.
- Berus perlahan kerana ia mudah terkoyak.
- Jemur sehingga kering & pasang semula.
Cuci filter anda sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Cuci condenser coil
Condenser coil merupakan bahagian berlubang pada penutup aircond anda. Mesti berhabuk kan? Sedut habuk-habuk degil tu dengan vacumm atau penyedut hampagas. Buat slow-slow saja, dan kalau ada habuk yang susah ditanggal, ambil berus dan gosok perlahan. Pastikan anda matikan suis sebelum mula servis aircond.
Cuci blower fan
Cuci blower fan dengan vacuum atau berus dengan perlahan untuk menghilangkan habuk yang melekat. Anda boleh pasang semula filter yang sudah dikeringkan tadi apabila siap cuci semua bahagian di atas.
Cuci outdoor compressor coil
Jangan lupa unit aircond di luar rumah. Pancutkan air sahaja untuk mencuci bahagian ini. Kalau terlalu kotor pada bahagian dalam, anda boleh buka dan berus di sehingga bersih.
Good luck ya!